Friday, September 3, 2010

Mercu Tanda Malaysia

KLCC




EYE-ON-MALAYSIA


KL TOWER






KOTA A'FAMOSA



53 Tahun Kemerdekaan


Setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.


Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

ini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 53 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru. 

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

ERTI KEMERDEKAAN ;)



Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.


Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.


Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.


Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.

DI AMBANG KEMERDEKAAN ;)

Peristiwa Di Malam Bersejarah
Menjelang malam 30 Ogos, kelihatan jalan-jalan sekitar Bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan awam yang membawa bendera Persekutuan Tanah Melayu. Batu Road umpamanya, sesak dengan kereta, bas, beca, basikal serta pejalan-pejalan kaki. Tua dan muda bersama-sama melangkah berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-Iampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling. Banyak kedai-kedai di sepanjang Batu Road dibuka sehingga larut malam.

Sebuah pentas khas didirikan di padang itu dengan dihiasi dengan lampu yang berwama-warni sebagaimana juga di keliling padang. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri. Manakala berpuluh-puluh ribu rakyat jelata dari berbagai bangsa berkumpul di sekeliling padang sehingga ke jalan raya. Turut hadir pada malam itu ialah perwakilan-perwakilan rasmi, pemberita-pemberita dan jurugambar dari dalam dan luar negara serta Ketua-Ketua Parti Perikatan dari seluruh negeri.


Rentetan Peristiwa / Acara
10.00 malam
Di padang, wakil ahli-ahli Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Singapura (12 delegasi) mengambil tempat di sekeliling 3 bahagian padang. Barisan hadapan memegang tali dan dengan jarak 6 kaki, seramai 2000 ahli-ahli Pemuda UMNO memegang satu lagi tali.

10.30 malam
300 Pemuda Perikatan membentuk perbarisan kehormatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap Jalan Raja (menara jam). Perbarisan ini diketuai oleh En. Ismail Bontak.

11.55 malam
YTM Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal (15 UMNO, 10 MCA, 5 MIC) dan 2 polis pengiring bermotorsikal (outriders) tiba di Jalan Raja. Perarakan bermotorsikal ini bermula dari rumah kediaman rasmi YTM Tunku Abdul Rahman.

Apabila tiba, YTM Tunku telah disambut oleh Dato' Abdul Razak bin Hussein, Encik Saadon Zubir (Ketua Pemuda UMNO), Dato' Sir Tan Cheng Lock (Yang Dipertua MCA) dan V. T. Sambantan (Yang Dipertua MIC). Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas menghadap ke tiga-tiga tiang bendera.

11.58 malam
Semua lampu di padang dan disekelilingnya dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita.

12.00 malam
Lampu dipasang semula apabila jam besar berbunyi menandakan detik 12 malam tiba. Ini diikuti dengan laungan 'Merdeka' oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]



Sepasukan 12 orang Pemuda dan Pemudi Perikatan yang terdiri dari 6 pemuda dan 6 pemudi (6 UMNO, 4 MCA, 2 MIC) tampil ke hadapan membawa 2 buah dulang. Satu dulang untuk diisi bendera Union Jack yang diturunkan dan sebuah dulang lagi berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu. Dulang yang berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu dibawa oleh Cik Dasimah Ibrahim yang diikuti oleh Encik Tahir Abdul Majid serta Cikgu Abdul Wahab.

Bendera Union Jack mula diturunkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhimya pentadbiran British di Tanah Melayu. Penurunan bendera Union Jack disambut dengan tepukan yang bergemuruh dan laungan 'Merdeka' yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu kebangsaan Negaraku yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum pada malam bersejarah itu. Setelah bendera Persekutuan Tanah Melayu sampai ke puncak tiang, sorakan 'Merdeka' telah dilaungkan sebanyak tujuh kali. Tunku Abdul Rahman memberikan tabik hormat semasa bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan.

12.10 malam
Tunku Abdul Rahman menerima tabik hormat dari Barisan Kehormatan Pemuda UMNO, MCA dan MIC dan memeriksa perbarisan dengan diiringi oleh Encik Sardon Zubir. Kemudian Tunku mengelilingi padang dan memeriksa 12 kumpulan rombongan-rombongan UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Tunku Abdul Rahman mengambil tempat di atas pentas. Pasukan Pemuda Perikatan seramai 24 orang yang diketuai oleh Encik Abdul Majid Othman tampil membawa dulang yang berisi rantai emas yang tergantung padanya sebuah Pingat Emas yang berukir peta Semenanjung Tanah Melayu serta gambar Tunku di dalam peta itu. Di tepi bulatan peta itu, ditulis perkataan Bapa Kemerdekaan Tanah Air, iaitu gelaran yang diberikan oleh UMNO kepada Tunku. 

Kalung emas dikalungkan ke leher Tunku oleh Encik Sardon Zubir diikuti dengan pekikan "Bapa Kemerdekaan Tanah Air" sebanyak tiga kali. 

12.25 malam 
Tunku Abdul Rahman berucap. 

12.55 malam 
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tuan Haji Massood Hayati. 

1.10 malam 
Barisan Kehormatan berkawat di hadapan pentas untuk memberi tabik hormat kepada Tunku Abdul Rahman. 

1.25 malam 
Tunku Abdul Rahman meninggalkan pentas. 

1.30 malam
Acara tamat. 





TARIKH PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN


01 Januari 1956
Rombongan Rundingan Kemerdekaan
Dari kiri: Datuk Ahmad Kamil, Datuk Dr Ismail, Datuk Hj Abdul Wahab, YTM Tunku Abdul   Rahman, Dato' Mohammad Seth, Kolonel Sir H.S. Lee, Dato' Abdul Aziz Majid dan Datuk Abdul Razak Barisan belakang: T.H. Tan(Setiusaha Wakil Perikatan) dan Abdul Kadis Shamsuddin (Setiuasaha wakil Raja-raja)


01 Januari   1956
Rombongan Kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan menaiki kapal laut bernama M.V. Asia.



01 Januari 1956
Seramai 10,000 orang yang sebilangan besar terdiri daripada ahli-ahli UMNO telah menghantar Rombongan Kemerdekaan di Pelabuhan Tanjung Pagar, Singapura.


01 Januari 1956
Keratan Akhbar Melayu, 6 Januari 1956 yang menunjukkan kapal laut M.V. Asia ke Karachi, Pakistan.



8 Januari 1956
YTM Tunku dan Lennox Boyd(Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.


20 Februari 1956 (11.00 pagi)
YTM Tunku yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dengan Malayan Airways.


20 Februari 1956
Rombongan Merdeka yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman disambut oleh lebih kurang 1,000 jawatankuasa penyambut daripada Parti Perikatan semasa tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.

20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman, Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Hj. Abdul Wahab Abdul Aziz dan Leong Yew Koh telah diarak dengan kereta berwarna hitam bernombor plat M 4442 dari Batu Berendam hingga ke Klebang untuk berehat di rumah Tan Cheng Lock.



20 Februari 1956
Rombongan Kemerdekaan berehat seketika di rumah Tan Cheng Lock di Klebang, Melaka dalam perjalanan dari Batu Berendam ke Padang Bandar Hilir, Melaka.


20 Februari 1956 (3.30 petang)
Rombongan Kemerdekaan tiba di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Orang ramai melaungkan 'Merdeka'setibanya Rombongan Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
En Ghafar Baba, mempengerusikan perhimpunan raksasa di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
YTM Tunku menjulang keris yang dihadiahkan oleh kaum ibu UMNO Melaka yang diwakili oleh Puan Zainab bt Samdin.

20 Februari 1956
Datuk Abdul Hamid Jumat, Ketua Cawangan UMNO Singapura sedang menyerahkan Peta Persekutuan Tanah Melayu termasuk Singapura pada YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Orang ramai mendengar ucapan YTM Tunku Abdul Rahman di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Ucapan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Haji Abdul Wahab di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Ucapan wakil MCA Leong Yew Koh di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman membaca Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan yang disusun oleh En Senu Abdul Rahman, Tn Syed Nasir Ismail dan ditulis oleh En Ibrahim Mahmood (Pengarang Akhbar Merdeka).

20 Februari 1956
Dr. Ismail (kiri) dan Dato' Abdul Razak (kanan) turut menandatangani pengisytiharan tarikh Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Malayu yang ditandatangani oleh ahli-ahli Rombongan Merdeka di Padang Bandar Hilir, Melaka.

20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA'.

20 Februari 1956
Rombongan Kemerdekaan berarak keluar selepas mengumumkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.





KEARAH MENCAPAI KEMERDEKAAN

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada  Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.


Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku  Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka   mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.


Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.

Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 

Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah. 

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.

SEJARAH KEMERDEKAAN

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.

Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.


Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya  dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. 

Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. 

Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya. 

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol,  begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College. 

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

''Di wajah suci anak-anak ini, kulihat sinar di hati murni mereka terpahat sebuah impian.. Andai sengketa membelenggu bersama, andai kerakusan mengusai kita, ke manakah tumpah harapan mereka..
kerana di bahu kitalah terpikul segunung amanah, di jemala kita terjunjung selaut ikrar, melunas sumpah, menunai janji..  Ayuh lah rakan dan taulan, rakan dan saingan, lupakan beza lebihkan menerima, bertatihlah bersamaku, kita berjalan seiringan, kita melangkah sehaluan,
1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1 Malaysia"

UCAPAN DARIPADA PERDANA MENTERI : DATO' SERI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

PARLIMEN..;)

Parlimen, iaitu Kuasa Perundangan bagi Malaysia, berperanan menggubal undang-undang untuk diguna pakai di negara ini. Parlimen berkuasa meluluskan undang-undang di peringkat Persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang sedia ada, menyemak dasar-dasar Kerajaan, meluluskan perbelanjaan dan meluluskan cukai-cukai baru.  Ia juga adalah wadah untuk perbahasan dan perbincangan; dan merupakan saluran bagi mengutarakan suara orang ramai dalam hal-ehwal negara.

Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen iaitu:

• Yang di-Pertuan Agong
• Dewan Negara
• Dewan Rakyat


__________________________________________________________________________________






Dewan Rakyat


Dewan Negara

LAGU NEGARAKU...

Peranan Lagu Kebangsaan bukan sahaja untuk membangkitkan semangat patriotik terhadap negara bahkan ianya melambangkan sosiobudaya serta mempaparkan cita-cita, hasrat dan harapan bangsa negara berkenaan. Lagu Kebangsaan Malaysia dinamakan Negaraku. Maksud lirik lagu Negaraku ialah menyeru rakyat dari berbagai bangsa, agama dan sosiobudaya hidup bersatu padu dan mengejar pelbagai kemajuan. Di samping itu lagu ini memohon rahmat dan kebahagiaan dari Allah untuk kesejahteraan raja, rakyat dan negara tercinta Malaysia. Lagu Negaraku asalnya berentak moderato sama seperti kebanyakan negara-negara beraja lain di dunia. Walau bagaimanapun sesuai dengan perkembangan sosioekonomi negara, pada 30 Ogos 1993 iaitu sempena menyambut Perayaan Hari Kebangsaan tahun 1993, kerajaan telah mengubah rentaknya kepada rentak march iaitu lebih cepat dan penuh bersemangat. Rakyat Malaysia yang cintakan negara dan raja perlu mengetahui lebih dalam mengenai Negaraku supaya lebih bersemangat patriotik.

SEJARAH LAGU KEBANGSAAN

Mengikut rekod terdapat dua sumber mengenai asal usul Lagu Kebangsaan sebelum lagu Negaraku ini dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia. Lagu tersebut merupakan Lagu Kebangsaan Negeri Perak dan di samping itu juga lagu yang popular bernama Terang Bulan. Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini telah digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebesaran Negeri Perak pada tahun 1901 iaitu pada masa pertabalan Raja Edward VII di England.

Sultan Idris Murshidul’adzam Shah (Marhum Rahmatullah) menjadi Sultan Negeri Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916. Pada masa pertabalan Raja Edward VII pada tahun 1901, Sultan Idris telah berangkat ke England sebagai wakil Raja-raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam Istiadat Pertabalan tersebut. Apabila tiba di Pelabuhan Southampton, Pegawai Protokol dari pejabat koloni luar naik ke kapal dan bertanyakan Lagu kebesaran Negeri Perak. Adalah menjadi amalan di England pada masa itu bahawa apabila Ketua Negara atau Raja berangkat, lagu kebangsaan negeri tersebut dimainkan.

Pada masa itu Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Raja Harun bin Sultan Abdullah, Setiausaha Sulit kepada Sultan adalah seorang ahli muzik. Beliau walaupun sedar bahawa Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri tidak mahu mengaku kalah. Beliau memberitahu Pegawai Protokol tersebut bahawa Negeri Perak memang sudah ada lagu kebesarannya sendiri tetapi not lagu tersebut tidak dibawa bersama. Namun begitu beliau menyatakan bahawa beliau boleh memainkan lagu tersebut tanpa not.

Setelah mendengar penerangan Raja Harun bin Sultan Abdullah maka Pegawai Protokol pun membenarkan beliau memainkan lagu tersebut tanpa not. Maka Raja Harun pun memainkan Lagu Kebesaran Negeri Perak tanpa not. Lagu tersebut sebenarnya ialah lagu Terang Bulan. Dengan itu berkumandanglah lagu Terang Bulan di bumi England pada tahun 1901 buat pertama kali dan sekaligus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak. Dari saat itu lagu Terang Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negeri Perak sehingga ia dijadikan Lagu Kebangsaan Negara dan seterusnya Lagu Kebangsaan Malaysia.

Satu lagi sumber mengenai asal usul lagu Negaraku ialah cerita yang disampaikan oleh Raja Kamarulzaman anak kepada Raja Mansur yang pernah menjadi juruiring kepada Sultan Idris. Beliau menyatakan bahawa lagu Terang Bulan ini mula dijadikan Lagu Kebangsaran Negeri Perak pada tahun 1888 apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun selepas baginda ditabalkan. Baginda Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada tahun 1888. Setibanya rombongan Diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Victoria telah meminta not Lagu Kebesaran Negeri Perak dari Raja Mansur, juruiring Sultan Idris. Mengikut amalan protokol ketiga itu Lagu Kebesaran Negeri Perak akan dimainkan sebaik sahaja baginda Sultan berangkat masuk ke dewan majlis di mana istiadat yang berkenaan dijalankan. Untuk mengelakkan malu maka dengan kebijaksanaan dan daya usaha Raja Mansur, beliau telah menyatakan bahawa not lagu tersebut terlupa dibawa. Walau bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil Permaisuri bahawa sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat not lagu, beliau boleh membunyikannya dengan cara bersiul.

Lagu yang disiulkan itu adalah lagu yang sangat popular dan digemari oleh penduduk Negeri Perak. Maka dengan itu Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu ialah lagu Terang Bulan. Tuan Haji Mubin Sheppard yang pernah memegang jawatan Pengarah Arkib Negara telah membuat penyelidikan mengenai asal usul lagu Negaraku ini. Beliau mendapati cerita dari dua adik beradik iaitu Raja Aminah binti Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah binti Almarhum Sultan Abdullah dan juga dari Raja Kamarulzaman.

Mengikut dua adik beradik ini kali pertama mereka mendengar lagu ini yang sekarang dikenali sebagai Negaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.

Raja Kamarulzaman juga ada menceritakan bahawa lagu ini telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku.
PEMILIHAN LAGU NEGARAKU

Pada tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Walau bagaimanapun, belum ada sebuah lagu kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara. Pada ketika itu Malaya berada di ambang kemerdekaan maka wajarlah ia mempunyai sebuah lagu kebangsaan sendiri. Maka dengan itu satu ketetapan telah diambil untuk mendapatkan sebuah lagu kebangsaan bercorak patriotik yang merangkumi seluruh negara. Y.T.M. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Ekoran dari ketetapan ini satu jawatankuasa telah dibentuk di mana bertujuan untuk mendapatkan sebuah lagu kebangsaan yang sesuai bagi Malaya yang bakal merdeka.

Y.T.M. Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar diadakan satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Cadangan Y.T.M. Tunku ini dipersetujui dan dilaksanakan. Pertandingan ini bukan sahaja terhad kepada penduduk Malaya tetapi telah dibuka ke seluruh dunia dan hasilnya sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia. Untuk memilihnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk membuat pemilihan dengan teliti dan sempurna.

Jawatankuasa pemilihan ini terdiri daripada :
Pengerusi :
 1.Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj
Ahli-ahli :
 2.Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mewakili Raja-raja.
 3.Dato’ Abdul Razak Hussein, Menteri Pelajaran.
 4.Encik Ya’akob Latiff, Pengarah Penerangan.
 5.Encik D.S.P. Croft, Pengarah Muzik, Band Polis Persekutuan.
 6.Kapt. Lenthall, Pengarah Muzik, Askar Melayu.
 7.Encik A.T. Read, Pengarah Penyiaran Radio.
  
Jawatankuasa ini menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Mereka meneliti setiap lagu yang diterima. Namun demikian Jawatankuasa ini berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan. Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada :
1. Benjamin Britten
2. Sir William Walton
3. Carlo Menetti dan
4. Zubir Said

Mereka telah menggubah dan mencipta beberapa lagu kebangsaan untuk diteliti oleh sebuah Panel Hakim yang dibentuk khas untuk membuat pertimbangan. Panel Hakim berpendapat bahawa lagu ciptaan mereka adalah tinggi mutunya namun mereka masih berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu yang boleh dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

Setelah dipertandingkan dan setelah mempelawa beberapa ahli penggubah lagu termasyhur masih belum memperolehi hasil yang diharapkan maka akhirnya Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada. Tujuannya ialah untuk mengenalpasti sama ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara. Setelah mendengar kesemua lagu negeri maka Jawatankuasa ini telah membuat keputusan bahawa Lagu Kebesaran Negeri Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan negara. Maka dengan itu jadilah lagu itu sebagai Lagu Kebangsaan Malaya yang merdeka dan akhirnya Lagu Kebangsaan Malaysia. Senikata lagu kebangsaan ini telah ditulis bersama oleh Panel Hakim di mana Y.T.M. Tunku Abdul Rahman telah memainkan peranan yang penting.

NEGARAKU (LIRIK)

NEGARAKU
TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
RAKYAT HIDUP BERSATU DAN MAJU
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA

KUASA TADBIR URUS

Perlembagaan Persekutuan menetapkan pembahagian kuasa tadbir urus kepada tiga bahagian iaitu Kuasa Eksekutif, Kuasa Kehakiman dan Kuasa Perundangan. Pengagihan kuasa ini dibuat di kedua-dua peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai menepati syarat sistem demokrasi berpersekutuan yang menjadi asas pentadbiran negara ini.

KUASA EKSEKUTIF
Kuasa Eksekutif, iaitu kuasa pentadbiran, diperuntukkan di bawah Perkara 39 Perlembagaan Malaysia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi diselenggarakan oleh Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Jemaah Menteri adalah bertanggungjawab terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.  Setiap tindakan eksekutif Kerajaan Persekutuan adalah disalurkan daripada Kuasa Diraja, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bagaimanapun, menurut prinsip pemerintahan Demokrasi Berparlimen, Perdana Menteri adalah Ketua Eksekutif.

KUASA KEHAKIMAN
Kuasa Kehakiman adalah dipegang oleh Mahkamah Atasan (yang merangkumi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Khas, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak); dan Mahkamah Rendah (merangkumi Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret, Mahkamah Syariah, Mahkamah untuk Kanak-kanak, Mahkamah Penghulu dan Mahkamah Anak Negeri) seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan. Ketua Kehakiman ialah Ketua Hakim Negara. Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa meluluskan rang undang-undang yang digubal Parlimen atau oleh Badan Perundangan Negeri.

KUASA PERUNDANGAN
Kuasa Perundangan iaitu kuasa menggubal undang-undang di peringkat Kerajaan Persekutuan terletak pada Parlimen, yang diketuai Yang di-Pertuan Agong dan mengandungi Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Di peringkat Negeri, kuasa ini dipegang Badan Perundangan Negeri masing-masing, yang dipilih lima tahun sekali. Antara lain undang-undang dan peruntukan yang digubal oleh Parlimen termasuklah fungsi menteri-menteri, konvensyen dengan negara-negara luar, penaikan kadar cukai dan pelulusan Bajet negara.

RAKYAT MALAYSIA-RAKYAT MAJMUK



Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai etnik yang tinggal dalam satu kawasan dan berjiran hidup dengan harmoni dan masing-masing bebas menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka tanpa sebarang gangguan.

Hujah ini dapat dikukuhkan lagi apabila pada musim perayaan mereka saling kunjung-mengunjung antara satu sama lain. Apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina misalnya, rakan-rakan yang berbangsa Melayu dan India juga turut mengunjungi rumah rakan dan jiran yang berbangsa Cina untuk bersama merayakannya Kita sebagai warganegara Malaysia seharusnya bersyukur kerana dikurniakan keharmonian antara kaum maka benarlah jika dikatakan bahawa bandar di Malaysia menonjolkan imej yang baik kepada negara dari aspek perhubungan antara kaum.

BUNGA KEBANGSAAN...;D



Bunga Raya atau Hibiscus Rosa dipilih sebagai sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri ketika itu YTM AI-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj. Pemilihan tersebut adalah berdasarkan kepada keunikan bunganya yang merah dimana ia melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran.

Bentuk lima kelopak yang terdapat pada bunga raya memberi maksud lima prinsip Rukun Negara. Bunga yang juga dikenali sebagai "Queen Tropical Flowers" ini adalah bunga yang tergolong daripada keluarga Malvaceae yang mempunyai 300 spesis tumbuhan.

Kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran menjadi lambang pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan yang hidup harmoni di negara tercinta ini. Warna merah pula bermaksud kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran menjadi lambang pelbagai bangsa.

rukun negara......

                                                    RUKUN NEGARA MALAYSIA


Rukunegara adalah ikrar pegangan negara yang dijadikan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia. Ia telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat.Ikrar Rukunegara adalah seperti berikut:

"Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
•Kepercayaan kepada Tuhan
•Kesetiaan kepada Raja dan Negara
•Keluhuran Perlembagaan
•Kedaulatan Undang-Undang
•Kesopanan dan Kesusilaan

JALUR GEMILANG!!!







Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.



Perdana Menteri Malaysia ;)


Enam perdana menteri yang berdedikasi

TUNKU ABDUL RAHMAN   (Perdana Menteri Pertama)    
-dikenali sebagai BAPA KEMERDEKAAN



Nama : 
Tunku Abdul 
Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Lahir :
08 Februari 1903, di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar (Istana Pagoda).
Pendidikan :
1911 - Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar.
1916 - Penang Free School, Penang.
1925 - Lulus B.A. dari University Cambridge.
1945 - Lulus LLB, dari Inner Temple, London.

Kerjaya :
1946 - Bertugas dengan Kerajaan Kedah sebagai D.O. (Pegawai Daerah) Langkawi, Kulim dan Sungai Petani, (sebelum lulus LLB). Dilantik Penolong Pendakwa Raya KL dan Presiden Mahkamah Session Selangor.
1951 - Dilantik Presiden UMNO dan bergiat sepenuh masa untuk UMNO.
1956 - Rombongan Merdeka ke London.
1957 - Merdeka. Perdana Menteri Pertama.
1962 - Rombongan ke London - Gagasan Malaysia.
1963 - Gagasan Malaysia - 16.09.1963.
1970 - Bersara dari Politik.
06 Disember 1990 Tunku kembali ke rahmatullah. Seluruh Negara berkabung atas pemergian Almarhum. Seluruh dunia menghantar Ucap Takziah. Atas wasiat Almarhum, jenazah disemadikan di Makam Di Raja Langgar.





TUN ABDUL RAZAK    (Perdana Menteri Kedua)
-dikenali sebagai BAPA PEMBANGUNAN


Nama : Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein
Lahir :11 Mac 1922, di Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang.
Pendidikan :
Sekolah Melayu Langgar, Pekan.
Maktab Melayu Kuala Kangsar, MCKK.
1940 - 
Raffles College Singapura - Pentadbiran
1947 - Ke England sebagai Queen's Scholar di bidang Undang-Undang.
1950 - Lulus LLB. (Hons) dari Lincoln's Inn, Barristar at Law.

Kerjaya :
1952 - Setiausaha Kerajaan Pahang.
1955 - Menteri Besar Pahang, Meletak jawatan - bertanding pilihanraya pertama dan menang, Menteri Pelajaran Pertama PTM. Mengeluarkan Penyata Razak yang menentukan sistem Pelajaran Negara pada 16.05.1956. Bergelar Bapa Pembangunan Luar Bandar kerana usaha gigih beliau naikkan taraf luar bandar.  
1970 - 22 September dilantik menjadi Perdana Menteri Malayisa. Pemimpin yang berhemah tinggi, jujur dan amat disegani.

14 Januari 1976, Tun Abdul Razak telah kembali ke rahmatullah di London. Jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.



TUN HUSSEIN ONN  (Perdana Menteri Ketiga)
-dikenali sebagai BAPA PERPADUAN



Nama : Tun Hussein bin Dato Onn

Lahir :12 Februari 1922, di Johor Bahru.
Pendidikan :
English College Johor Bahru hingga lulus Senior Cambridge. 
1940 - Masuk Maktab Tentera di Dehra Dunn, India.
1958 - Lulus Ijazah Undang-undang dari Lincoln's Inn, London.


Kerjaya :
1942 - Bertugas di Mesir.
1945 - Pemerintah Polis Depot, Johor Bahru.
1946 - Masuk UMNO bersama ayahnya. Setiausaha UMNO Pertama.
1950 - ADO, Kuala Selangor, Klang.
1970 - Menteri Pelajaran.
1973 - Timbalan Presiden UMNO. Timbalan Perdana Menteri.
1976 - Perdana Menteri Malaysia Ketiga.
1981 - Bersara menarik diri dari politik serentak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

29 Mei 1990, Tun Hussein Bin Dato Onn kembali kerahmatullah di rmahnya, di Kuala Lumpur. Terkenal seorang yang berhemah tinggi, merendah diri, jujur dan amat disegani. Disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.





DATUK SERI DR. MAHATHIR MOHAMAD    (Perdana Menteri Keempat)
-dikenali sebagai BAPA PEMODENAN



Nama : Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Lahir :20 Disember 1925, di Alor Setar, Kedah.
Pendidikan :
Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar.
Sultan Abdul Hamid College dan Universiti Malaya (Singapura) lulus Ijazah Kedoktoran Perubatan MBS - 1953.
Kerjaya :
1945 - Aktif dalam Kesatuan Melayu Kedah, SEBERKAS dan UMNO.
1954 - 
Bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Alor Setar, Langkawi dan Perlis.
1957 - Membuka klinik sendiri di Alor Setar.
1964 - 
Memenangi Kerusi Parlimen Kota Setar Selatan.
1973 - Dilantik Pengerusi FIMA.
1975 - Naib Presiden UMNO.
1976 - Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri.
1981 - Perdana Menteri Malaysia Keempat



DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI    (Perdana Menteri Kelima)
-dikenali sebagai BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN



Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.
Dato' Seri Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Dato' Seri Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984 hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Dato' Seri Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999.
Dato' Seri Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86), dan Menteri Pertahanan (1986-87). Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Februari 1999. Dato' Seri Abdullah kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada Februari 1999.
Pada petang Jumaat, 31 Oktober 2003, bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah, dengan ketentuan Allah s.w.t. beliau telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima.







DATO' SERI MOHD NAJIB   (Perdana Menteri Keenam)
-dikenali sebagai BAPA TRANSFORMASI


nama: 

Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak 

Tarikh Lahir - 23/07/1953
Tempat Lahir - Kuala Lipis, Pahang
Isteri - Datin Paduka Seri Rosmah binti Mansor (Seri Paduka Mahkota Selangor SPMS-11/12/2005)

Anak bersama Tengku Puteri Zainah binti Tengku Iskandar

1. Mohd Nizar,
2. Puteri Norliza
3. Mohd Nasifudin

Anak bersama Datin Seri Rosmah binti Mansor

4. Nooriyana Najwa
5. Norashman Razak


Pendidikan
1960 - St John's Institution, Kuala Lumpur
1967 - LCE - St John's Institution, Kuala Lumpur
Malven Boys' College,
Worchestershire, England
1974 - B.A. (Hons) Industrial Economics,
University of Nottingham, England


BOOK AUTHOR

1996- For the Sake of Peace ( Pelanduk Publications )
1998 -Asia-Pacific's Strategic Outlook:Shifting of Paradigms(Pelanduk Publications) )
2001 - Defending Malaysia: Facing the 21st Century ( Coronet Books Inc )


Kerjaya politik

Beliau adalah ahli parlimen Pekan, Pahang dan anak lelaki kepada bekas perdana menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Dato' Hussein.

Beliau menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan yang kosong, akibat kematian bapanya, ketika berumur 23 tahun, dan merupakan ahli parlimen termuda yang pernah dipilih ketika itu.

Antara jawatan yang pernah disandang dalam kabinet ialah:

* 1978-1980 - Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos
* 1980-1981 - Timbalan Menteri Pendidikan
* 1981-1982 - Timbalan Menteri Kewangan
* 1982-1986 - Menteri Besar Pahang
* 1986-1987 - Menteri Kebudayaan, Belia & Sukan
* 1990-1995, 1999-2008 - Menteri Pertahanan
* 1995-1999 - Menteri Pendidikan